SPRM Sarawak cadang perluas program pendidikan antirasuah pada penjawat awam

KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak bercadang memperluaskan program pendidikan antirasuah kepada semua penjawat awam di wilayah ini sebagai usaha mewujudkan budaya kerja yang lebih berintegriti.

Cadangan itu diutarakan Pengarah SPRM Sarawak, Hasbilah Mohd Salleh sambil yakin usaha ini dapat memastikan urusan pentadbiran Sarawak berjalan dengan lebih efisien, amanah dan dipercayai rakyat.

Tegasnya, penjawat awam perlu mematuhi prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kelemahan dalam sistem yang boleh menyebabkan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abang Johari Tun Openg, di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Hasbilah berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan dalam memberi khidmat nasihat serta bimbingan kepada agensi-agensi kerajaan, agar setiap dasar dan peraturan yang dilaksana sejajar dengan prinsip integriti dan tatakelola yang baik.

Pada masa sama katanya, kempen kesedaran dan program latihan juga akan diperhebatkan lagi bagi memperkasa kefahaman mengenai undang-undang antirasuah dalam kalangan penjawat awam.

Turut serta dalam kunjungan tersebut ialah Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Sarawak PKPj Wan Ahmad Nidzam Wan Omar serta Ketua Siasatan Negeri SPRM Sarawak PKPj Katherine Nais.

Sementara itu, Abang Johari turut menerima kunjungan hormat Anggota-anggota Majlis Islam Sarawak (MIS) diketuai Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali.