KUCHING: Program Sumbangsih, inisitif Kerajaan Sarawak untuk menghargai penjawat awam semasa lAidilfitri akan diterus pada Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina.
Mengumumkan berita gembira ini Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berkata, inisiatif ini sebagai penghargaan kepada penjawat awam khususnya badan unit beruniform yang bertugas pada hari perayaan.
“Kita memahami bahawa mereka ini perlu berjauhan daripada ahli keluarga mereka pada hari perayaan kerana tugasan yang harus mereka jalankan, maka dengan sumbangan seumpama ini setidak-tidaknya memberikan kegembiraan kepada mereka dengan makanan yang telah disediakan.
“Kerajaan Sarawak akan meneruskan program ini dan tadi saya telah berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. Kita akan teruskannya bukan hanya pada Hari Raya sahaja, tetapi untuk Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Penyerahan Simbolik Sumbangsih Raya 2025 di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Bagi tujuan itu, beliau mengumumkan peruntukan tambahan kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada agensi dan penguatkuasa yang bertugas pada hari perayaan berkenaan.
“Saya menzahirkan terima kasih kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, selepas ini ada tambahan kerja untuk mempersiapkan pek makanan untuk Tahun Baharu Cina dan juga Hari Gawai Dayak,” katanya.
Abang Johari berharap inisiatif ini dapat memperkukuhkan lagi keharmonian masyarakat, serta memastikan perayaan yang disambut dengan penuh kegembiraan dan bermakna kepada mereka yang terlibat.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam dan Datuk Rosey Yunus, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Ketua-Ketua Jabatan.
