Tindakan Susulan Parlimen, komitmen KPM laksana reformasi

KUALA LUMPUR: Program Tindakan Susulan Parlimen (TSP) yang dilaksanakan di kawasan parlimen termasuk di Igan merupakan manisfetasi Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menzahirkan keprihatinan menyelesaikan isu berkaitan pendidikan yang dibangkitkan di Parlimen.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tinjauan secara berfokus semasa TSP mencerminkan komitmen KPM yang teguh untuk melaksanakan reformasi pendidikan secara holistik dan efektif.

“Kesejahteraan guru dan kebajikan murid turut menjadi perhatian di dalam program TSP,” katanya menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Ahmad Johnie dalam soalan lisannya bertanya apakah hasil lawatan KPM di kawasan Parlimen Igan selepas program TSP yang dibuat pada September tahun lalu.

Fadhlina memberitahu, hasil daripada program TSP yang dilaksanakan, projek pembinaan gantian penuh 28 bilik darjah dan asrama serta kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu-Daro ditawarkan kepada kontraktor melalui surat setuju terima bertarikh 16 Oktober, 2024.

Pemilikan tapak telah dilaksanakan pada 30 Oktober 2024 dengan tempoh jangkaan projek disiapkan selama 30 bulan iaitu pada 29 April 2027, katanya.

Beliau menegaskan, KPM turut merancang untuk mengemukakan projek pembinaan gentian bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pangtray, Daro dan SMK Jalan Oya untuk pertimbangan dan kelulusan Kementerian Ekonomi dalam RMKe-13, RP1 tahun 2026.

KPM, tambahnya, juga telah memperuntukkan sejumlah RM300,000 bagi kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan bangunan di sekolah-sekolah terlibat di Parlimen Igan.

Semasa program TSP dilaksanakan, katanya, KPM melalui Yayasan Didik Negara juga telah mengagihkan sejumlah 164 tablet kepada beberapa buah sekolah terlibat di kawasan Daro dan Mukah bagi kegunaan murid.