MIS, DBKU buat kelainan, anjur Program Iftar Perdana di Tebingan Sungai Kuching

KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) buat julung kalinya akan menganjurkan program Iftar Perdana bertempat di Square Tower, Tebingan Sungai Kuching.

Acara dijadual pada 8 Mac ini turut melibatkan Jawatankuasa Pengurusan Masjid India Bandaraya Kuching serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Grit Event Management Club, Kelab Belia Proaktif dan Borneo Glamping.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia bertujuan memperkukuhkan hubungan silaturahim serta semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat terutamanya warga Kuching.

“Program ini akan bermula seawal jam 4 petang di perkarangan Square Tower, Kuching Waterfront. Para pengunjung digalakkan membawa juadah masing-masing bagi memeriahkan suasana berbuka puasa secara santai dan terbuka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Iftar Perdana Kuching, di Ibu Pejabat DBKU, di sini hari ini.

Sebagai sebahagian daripada pengisian program katanya, pihak penganjur akan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada orang ramai bermula jam 5 petang di hadapan Masjid India Bandaraya Kuching.

Sementara itu, Datuk Bandar DBKU, Dato Hilmy Othman menggesa orang ramai hadir ke program ini.