Delegasi Sarawak lawat Tech Barcelona, bincang penubuhan Sarawak Tech City

BARCELONA: Delegasi Sarawak diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas melawat Tech Barcelona bagi membincangkan mengenai penubuhan Sarawak Tech City.

Beliau diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta pegawai-pegawai kanan Kerajaan Sarawak.

Ketibaan delegasi Sarawak disambut Pengerusi Malaysian Spanish Chamber of Commerce and Industry (La Cámara), Jordi Pol.

Selain memperkukuh kerjasama dalam ekosistem teknologi yang berkembang pesat di Barcelona,lawatan bertujuan memanfaatkan kepakaran bandar berkenaan dalam inovasi. Selain itu, penyelesaian bandar pintar dan transformasi digital sekali gus meletakkan Sarawak sebagai hab utama teknologi dan keusahawanan di rantau ini.

Perbincangan utama memfouskan kepada pembangunan infrastruktur digital, pembinaan bakat, inkubasi syarikat permulaan serta kerjasama antara industri dan akademia yang diilhamkan oleh kejayaan Barcelona sebagai pusat inovasi global.

Kerjasama antara Sarawak dan Barcelona bermula semasa Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2023 dan diteruskan dengan komitmen tinggi melalui kerjasama yang diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).