Projek bina Tebingan Mukah bermula tahun depan

MUKAH: Peruntukan melaksanakan projek pembinaan Tebingan Mukah yang dijangka bermula tahun depan mungkin akan ditambah.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan asal projek ini sebanyak RM100 juta dengan RM60 juta diperuntukkan untuk fasa pertama dan RM40 juta fasa kedua.

Beliau menegaskan, bahawa jumlah ini mungkin akan ditambah bagi menampung rekaan semula dan pengembangan kawasan tersebut.

“Kita akan menuntut semula kawasan pantai di tebingan ini tanpa menjejaskan penempatan sedia ada dan akan menjadi satu kawasan indah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Kolej Laila Taib.

Abang Johari berkata, projek pembinaan Tebingan Mukah itu bakal mengubah landskap bandar Mukah agar lebih indah sehingga ke Sungai Tellian yang sering digunakan untuk Pesta Kaul.