MUKAH: Penglibatan Sarawak dalam industri tenaga hijau sekali lagi mendapat pengiktirafan daripada dunia luar.
Ia selepas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima undangan ke Hong Kong untuk menyampaikan ucaptama berhubung tenaga hijau dalam masa terdekat.
Katanya, jemputan tersebut menandakan pengiktirafan antarabangsa terhadap pendekatan Sarawak dalam pembangunan sektor tersebut.
“Ini membuktikan dunia kini semakin mengenali Sarawak melalui usaha negeri ini dalam memajukan sumber tenaga hijau.
“Alhamdulillah, dunia kini sudah mula mengenali Sarawak melalui pendekatan ini,” katanya semasa Majlis Makan Malam Pemimpin bersama Rakyat di Kingwood Resort, Mukah malam tadi.
Abang Johari turut menyatakan rasa terharunya terhadap jemputan yang diterima dari pelbagai negara untuk berkongsi pandangan serta pengalaman Sarawak dalam bidang ekonomi baharu dan tenaga hijau.
Antara negara yang telah mengundang beliau adalah Poland, Belanda, Thailand dan Singapura.
Selain itu katanya beliau dijangka ke Sydney, Australia minggu depan bagi membincangkan isu sama.
“Pengiktirafan ini jelas menunjukkan kejayaan Sarawak dalam menjadi perintis di rantau ini dalam bidang tenaga hijau, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak di persada antarabangsa,” tambahnya.
Terdahulu, pada sebelah petang, beliau bersama rombongannya mengadakan lawatan ke kawasan Tebingan Sungai Balingian.
Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee In, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
