Jalin kerjasama dengan universiti Turki

MUKAH: Kerajaan Sarawak merancang mengembangkan teknologi cip yang sangat diperlukan dalam teknologi pengesanan jarak jauh, kata Premier Sarawak.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan akan berunding dengan syarikat semikonduktor tempatan untuk melatih pelajar dalam program lanjutan yang berkaitan.

Program itu mampu membekalkan kemahiran asas kejuruteraan marin kepada pelajar, sekali gus memberi peluang kepada mereka melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan data bawah laut, katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kampus Laila Taib UTS Cawangan Mukah hari ini.

“Kemahiran geologi di kawasan dasar laut akan membolehkan kita mengetahui potensi minyaknya dan ini memerlukan kepakaran penggunaan teknologi cip,” tegas beliau.

Beliau berkata, data geologi itu boleh diperoleh melalui penerokaan menggunakan peralatan tanpa pemandu atau kenderaan bawah laut tanpa pemandu.

Abang Johari turut mencadangkan supaya kampus Laila Taib Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Cawangan Mukah menjalinkan kerjasama dengan institusi pendidikan di Turki yang menerapkan teknologi canggih dalam industri maritim.

Kerjasama antarabangsa itu, katanya, penting untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan kemajuan teknologi di UTS.

Ia selepas universiti tersebut kini satu-satunya kampus di Malaysia yang dilengkapi dengan kemudahan canggih dalam bidang kejuruteraan marin termasuk teknologi simulasi pengurusan kapal, tambahnya.

Cadangan tersebut turut melibatkan pengenalan program bersama dengan universiti di Turki yang akan membuka peluang bagi pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah di negara berkenaan, katanya.

“Pelaksanaan perubahan teknologi dalam industri maritim ini diharapkan akan menjadikan UTS sebagai peneraju dalam bidang teknologi marin di Malaysia.

“Ia sekali gus memajukan sektor pendidikan di Mukah dan memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam teknologi canggih,” katanya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hajah Hanifah Taib.