Patuhi peraturan kendali dron

KUCHING: Orang ramai yang mengoperasikan dron harus mematuhi undang-undang berkaitan dan mengawal operasi mereka.

Menteri Pengangkutan Sarawak (MoTS), Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pengoperasian drone di negara ini sama ada secara komersial atau rekreasi tertakluk kepada Bahagian XVl Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Pekeliling Maklumat Aeronautik 4/2008.

Peraturan yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) itu juga mengkehendaki sesiapa berhasrat untuk mengendalikan dron di ruang awam atau dalam ruang udara terkawal mesti terlebih dahulu mendapatkan permit, katanya semasa Ceramah Keselamatan Penerbangan Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Hotel Raia di sini, hari ini.

Namun sejak kebelakangan ini, katanya, MoTS mendapati trend itu membimbangkan kerana ramai individu mengendalikan dron di ruang awam ditangkap pasukan penguatkuasa kerana beroperasi tanpa permit dikeluarkan CAAM.

Beliau berkata, situasi itu juga menyerlahkan jurang kritikal dalam pengetahuan awam dan ramai rakyat tempatan tidak sedar bahawa operasi dron terutama di tempat awam atau berhampiran kawasan sensitif, dikawal oleh undang-undang.

Menurutnya, MoTS komited melancarkan kempen kesedaran awam yang menyeluruh melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, pemimpin masyarakat dan saluran media untuk menyebarkan maklumat mengenai peraturan dron.

“MoTS akan menganjurkan bengkel, seminar, dan program jangkauan untuk mendidik orang ramai, di seluruh Sarawak, sama ada di wilayah selatan, tengah atau utara, yang mana akses kepada maklumat mungkin terhad,” katanya.