KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian memberi amaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek kerajaan supaya menjamin projek terbabit siap mengikut jadual.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah berkata, kontraktor harus menyiapkan projek yang dilaksana itu siap mengikut jadual atau berhadapan dengan tindakan disenaraihitamkan oleh kerajaan.
Dr. Sim menzahirkan rasa kecewanya terhadap kelewatan projek membina bumbung gelanggang bola keranjang Sekolah Menengah Min Lit di Batu Kawa.
Beliau menggesa kontraktor terbabit supaya mempercepatkan kerja pembinaannya mengikut jadual untuk faedah pelajar dan guru sekolah berkenaan.
Projek berharga RM350,000 itu dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar Batu Kawa. Majlis Perbandaran Padawan menawarkan projek itu kepada sebuah syraikat pada 4 April 2024, dengan tempoh pembinaan selama lima bulan dan siap pada 3 September 2024.
Kemajuan pelaksanaan projek itu sepatutnya mencapai 74 peratus siap sekarang tetapi ia hanya mencapai 55 peratus.
Menurut Dr. Sim, pendirian Kerajaan Sarawak terhadap mana-mana projek pembangunan yang dilaksanakan amat jelas iaitu harus siap mengikut jadual.
