TORONTO, Kanada: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi hari ini secara tidak rasminya melancarkan Pameran dan Kongres Air Sedunia (WWCE) Persatuan Air Antarabangsa (IWA) 2028 di sini.
Pameran itu nanti akan diadakan di Sarawak, pada tahun 2028.
Pelancaran secara tidak rasmi booth IWA itu turut disaksikan oleh Presiden IWA, Tom Mollenkopf, Pengarah Eksekutif IWA, Profesor Kala Vairavamoorth, Pengarah Wilayah MWA Asia dan Oceania, Dr Hong Li, Presiden MWA, Dr Ir. Tan Sri Mohmad Asari Daud dan Pengerusi MWA Cawangan Sarawak, Kelvin Kuek Hann Yih.
WWCE adalah satu daripada acara global terbesar dianjurkan IWA. Acara itu meliputi kitaran air sepenuhnya dan mengumpulkan pakar terkemuka dunia dalam sektor air yang membekal air secara selamat, mampan dan saksama pada masa hadapan.
WWCE akan turut mempamerkan inovasi, teknologi dan pengalaman terkini dalam sektor air. Acara itu diadakan secara bergilir dan setiap acaranya menyediakan peluang untuk mengetengahkan isu wilayah dan kepakaran serta mengeratkan hubungan dalam wlayah terbabit dan seterusnya.
Sebelum ini, Premier Sarawak mengumumkan pada 16 September 2023, Kuching dipilih sebagai negara pertama di ASEAN untuk menjadi tuan rumah acara berprestij itu.
Kuching yang menjadi tuan rumah akan menjadi katalis menarik pelaburan, memulakan kolaborasi dalam jangka masa panjang, menghubungkan pemain industri air wilayah antarabangsa kepada syarikat tempatan dan mencari penyelesaian ke atas cabaran infrastruktur air dihadapi Sarawak.
Kehadiran IWA di wilayah ASEAN menjanjikan pemulaan perbincangan transformasi, mewujudkan perkongsian berimpak tinggi dan meningkatkan keupayaan keseluruhan wilayah menangani cabaran pengurusan air.
