Projek Tebatan Banjir Maludam dijangka bermula 2025

MALUDAM: Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan Projek Tebatan Banjir Maludam yang dijangka bermula suku keempat tahun depan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, projek bernilai RM40 juta di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) itu akan mengatasi masalah hakisan dan banjir di daerah kecil Maludam.

“Maludam mengalami banjir hingga merosakkan tanaman dan kediaman penduduk setempat saban tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sambutan Pra-Krismas bertempat di Rumah Kunjang, Kampung Sungai Daun di sini, hari ini.

Dayang Noorazah berkata, Kerajaan Sarawak juga meluluskan projek menaik taraf sistem saliran di Maludam melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM130,000.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Cawangan Lingga,Suhaidi@Roslan Los; Naib Ketua I (Pesaka) Parti PBB Cawangan Lingga, Tuai Rumah Jemmy Ngindang; Ketua Pemuda Cawangan Lingga, Abdul Rahim Jamil dan Ketua Penerangan Cawangan Lingga, Zakaria Othman.