Pusaka Timber Industries meterai dua MoU jalankan penilaian komersial pembangunan ladang buluh

CHINA: Pusaka Timber Industries Sdn Bhd memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama G-COVE Technologies Co Ltd dan Sichuan Vanov New Materials Co Ltd.

MoU itu bagi menjalankan penilaian komersial terperinci pembangunan ladang buluh, pulpa dan produk berasaskan gentian di Sarawak.

Pemeteraian MoU yang disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan itu bakal menjana pelaburan untuk pembangunan projek yang berjumlah kira-kira RM1.8 bilion (USD400 juta).

Menurut Awang Tengah, pakatan strategik ini boleh memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk memperoleh kelebihan daya saing dalam produk berasaskan gentian buluh bernilai tambah tinggi di pasaran global.

“Selain aliran masuk modal, ia akan menggalakkan pemindahan teknologi, pemindahan pengetahuan dan peluang pekerjaan.

“Ini selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 untuk mengubah Sarawak menjadi negeri maju melalui kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Sichuan Vanov New Materials Co. Ltd mempunyai produk pulpa bersepadu dan berasaskan gentian buluh di Meishan, China.

Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat untuk produk berasaskan gentian buluh mesra alam seperti tisu, kain lap basah, kotak acuan dan lampin, Sichuan Vanov New Materials Sdn Bhd mempertimbangkan Sarawak sebagai pangkalan untuk mengembangkan kapasiti mereka untuk memenuhi permintaan pasaran.

Perniagaan teras G-COVE Technologies Co Ltd adalah mengeluarkan kotak acuan untuk makanan, pembungkusan perubatan dan industri menggunakan pulpa buluh yang dihasilkan oleh Sichuan Vanov New Materials Co Ltd.