SARATOK: Regata Krian 2024 akan disertai sebanyak 10 pasukan lumba perahu dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka pada Pesta Saratok 2024, di sini, mulai 25 hingga 27 Oktober ini.
Sebanyak tujuh kategori akan dipertanding pada perlumbaan perahu yang juga akan menawarkan gelaran Raja Air Sungai Krian dengan hadiah bernilai RM15,000.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyampaikan sumbangan kewangan kepada 10 pasukan lumba perahu terbabit bagi menampung kos menyertai acara itu kali ini.
“Saya mengharapkan dengan sumbangan kewangan dapat meringankan beban pengurus pasukan lumba perahu yang aktif di DUN N.38 Kalaka dan bertarung dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi,”katanya.
Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.38 Kalaka, Gapor Ahmad telah mewakili ADUN Kalaka menyampaikan sumbangan kepada 10 pasukan tersebut di Pejabat Pusat Khidmat DUN Kalaka.
Antara pasukan menerima sumbangan tersebut ialah Sangga Buana Kampung Kupang; Cahaya Helang Tasik; Jalak Lenteng Cahaya Baru Kabak; Lanun Dinara Cut; Kijang Bunian; Puteri Krian; Raja Burung Lang Ganas; Kupang. COM; Seri Sarawak dan Putera Todak.