KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM950 juta untuk kerja pemuliharaan sungai dan kerja kecemasan luar jangka akibat banjir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, sejumlah RM410 juta diperuntuk untuk kerja memulihara sungai bagi mengurangkan risiko banjir kepada setiap negeri.
“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga memperuntukkan sebanyak RM540 juta di bawah RMK-12 bagi kerja kecemasan luar jangka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen, Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuki Shaary yang bertanyakan peruntukan kepada JPS setiap negeri bagi mengatasi masalah ketiadaan saliran dan longkang terancang untuk mengelakkan banjir kilat di Parlimen, di sini, hari ini.
Fadillah menjelaskan, kerja kecemasan luar jangka bertujuan memulihara struktur yang rosak akibat banjir di seluruh negara dan agihan peruntukan berdasarkan kepada keperluan semasa setiap negeri.
Katanya, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ingin menekankan bahawa merujuk kepada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), tanggungjawab untuk membina dan menyenggara parit adalah di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“Bagaimanapun, kementerian sentiasa bekerjasama dengan agensi terbabit dalam memastikan sistem saliran dapat berfungsi dengan baik,” tambahnya.
