Penghijrahan Sarawak dikagumi

KUCHING: Kerajaan Sarawak meletakkan aspek keadilan dan ketelusan sebagai penghijrahan kepada tadbir urus yang baik dan disegani.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini ditambah dengan kesederhanaan dalam mentadbir juga akan membawa Sarawak ke tahap yang lebih maju dan makmur sehingga mendapat perhatian negara-negara luar.

“Dengan keinginan dan berubah, berhijrah ke cara baharu, kita dapat mengatasi masalah dunia hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446H/2024M di Pusat Acara Hikmah Exchange di, sini, hari ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang hadiri sama.

Abang Johari menjelaskan, perubahan iklim dunia turut mendorong penghijrahan dasar pentadbiran negeri ini.

Katanya, Kerajaan Sarawak turut memfokuskan kepada kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan.

Tambahnya, hala tuju jelas Sarawak menguruskan negeri ini memberi penekanan terhadap alam sekitar dan kemampanan dengan mengambil kira pelbagai cabaran manusia sejagat.

“Kita juga bangga kerana walaupun Sarawak sebuah wilayah yang kecil, namun kita mampu menyumbang kepada usaha menangani perubahan iklim,” tambahnya.

Pada masa, Abang Johari mengajak umat Islam untuk mencontohi sistem pemerintahan junjungan besar, Rasullullah SAW dengan mewujudkan Piagam Madinah yang meletakkan aspek keadilan dan ketelusan pentadbiran.

Dalam sejarah ketika Nabi Muhammad memerintah Madinah banyak kabilah bangsa berlainan. Rasulullah dapat memerintah dengan adil saksama,” tambahnya.

Katanya, ia pengajaran besar yang harus dicontohi apabila diberi amanah untuk mentadbir iaitu pemerintahan yang telus berasaskan integriti dan hala tuju untuk memakmurkan umat manusia.

Antara program ialah bacaan Al-Quran Menggunakan Mushaf Braille Malaysia oleh Aleeya Nuraishah Mohamad Mahdi serta Tadabbur Ayat-Ayat Suci Al-Quran oleh Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin.

Selain itu, majlis penyampaian kepada 14 penerima Anugerah Ma’al Hijrah 1446H oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak.