Abang Johari, Fadillah hadiri Majlis Doa Akhir Tahun

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluangkan masa menghadiri Majlis Doa Akhir Tahun 1445 Hijrah Dan Awal Tahun 1446 Hijrah Peringkat Sarawak
di Masjid Jamek Kuching malam ini.

Selain Premier Sarawak, beberapa pemimpin lain turut serta. Antaranya Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Timbalan Menteri Tenaga & Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah disusuli bacaan surah Yasin yang dipimpin Imam Besar Negeri, Dato Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Ia diteruskan dengan ceramah disampaikan oleh Mufti Negeri Sarawak, Datu Kipli Yassin bertajuk ‘Kelestarian Alam Sekitar Menurut Islam.

Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446 Hijrah/2024M tahun ini bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur, Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’.

Majlis Perhimpunan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Sarawak Tahun 1446h/2024M akan diadakan di Pusat Acara Hikmah Exchange esok (Ahad).

Ia akan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak.