KUCHING: Ketua Usaha Negara Brunei Darussalam ke Sarawak, Sheikh Abdul Mahdani Dato Paduka Sheikh Abdul Ghani hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.
Dalam kunjungan hormat selama satu jam itu, mereka membincangkan isu yang mempunyai kepentingan bersama antara Brunei dan Sarawak.
Selepas itu, Uggah menerima kunjungan ahli jawatankuasa Gabungan Jurutera Perunding Bumiputera Sarawak yang diketuai pengerusinya, Ir Irwan Zulkarnain Hasbie.
Antara lain, Irwan memberi taklimat kepada Uggah mengenai penubuhan persatuan berkenaan, matlamatnya dan penyertaan dalam pelbagai projek pembangunan kerajaan sejak 2014.
