RUU Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 dilulus

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Sarawak 2024 bertujuan menubuhkan pihak berkuasa mengurus, mengawal selia, mengawal dan mentadbir semua pelabuhan di Sarawak.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar mengumumkan kelulusan RUU itu setelah memperoleh undian sebulat suara pada hari kedua Persidangan DUN Sarawak Ke-19.

Ia turut dibahaskan oleh 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum diluluskan.

Terdahulu, ketika membentangkan RUU tersebut, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, model pemusatan boleh membantu pelabuhan Sarawak menjadi lebih berdaya saing dan cekap, sejajar dengan matlamat ekonomi yang lebih luas.

Katanya, cadangan untuk membangunkan lembaga pelabuhan tunggal baharu akan menggantikan semua lembaga pelabuhan sedia ada.

“Penubuhan lembaga pelabuhan tunggal ini juga selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 yang merangkumi perkhidmatan pelabuhan yang cekap sebagai salah satu inisiatif pemangkin di bawah pengupaya infrastruktur asas,” ujarnya.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak iu menambah, pengambilalihan pengurusan dan operasi pelabuhan ini akan dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu fasa interim, fasa pengkorporatan dan fasa penswastaan.

Jelasnya, semasa fasa penswastaan, RUU melalui peruntukan pelesenannya dalam Bahagian VI akan membolehkan Lembaga Pelabuhan Sarawak (dengan kelulusan MMKN) menswastakan usaha dan operasi pelabuhan dengan melesenkan sama ada entiti baharu yang mempunyai penglibatan sektor swasta atau pelabur atau syarikat pengganti yang telah mengakui pemegang saham baharu sebagai pelabur dalam syarikat pengganti.