KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju membina dan menaik taraf sejumlah 100 sekolah daif di seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek tersebut akan menggunakan dana Sarawak sendiri namun akan dibayar balik oleh Kerajaan Pusat.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga membangunkan lima sekolah antarabangsa menggunakan dana sendiri.
Katanya, inisiatif tersebut merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk membangunkan ekosistem pendidikan yang menyeluruh bagi melahirkan modal insan yang mahir khususnya dalam bidang teknologi.
“Sarawak memerlukan anak-anak yang mahir dalam teknologi baharu seperti dalam penghasilan hidrogen dan pengeluaran bahan api bio berasaskan lumut agar dapat memacu bidang tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Persatuan Profesional SiPartners+ Malaysia (SIPMa) Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di sini, semalam.
Ujar Abang Johari, selain sekolah aliran nasional, kerajaan juga ingin anak Sarawak fasih dalam bahasa lain dan belajar silibus Cambridge.
“Kita memberi peluang kepada semua pelajar pintar di bandar dan luar bandar supaya pada masa depan dapat mengaji di universiti terkenal yang khasnya dalam teknologi baharu,” katanya.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Datu Dr Azhar Ahmad, Pengerusi SIPMa Salahuddin Hassan Jaba’ie dan Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli.
