KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024 akan memperhalusi, mengukuh dan meningkatkan rangka kerja undang-undang.
Undang-undang itu bertujuan
mengawal perlindungan dan pengurusan kawasan yang dilindungi dan hidupan liar di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, RUU itu juga memastikan tiada pertindihan tugas antara Jabatan Hutan Sarawak dan Perbadanan Perhutanan Sarawak SFC.
“Melalui penyelarasan tanggungjawabnya, langkah perundangan ini bersedia memperkukuh usaha pemeliharaan alam sekitar yang berterusan. Selain itu, ia memupuk amalan pelancongan selaras dengan keseimbangan alam semula jadi.
“Walaupun fungsi SFC ditakrifkan dengan jelas di bawah RUU ini, usaha kolektif daripada jabatan dan agensi berkaitan termasuk pemimpin masyarakat dan orang ramai adalah penting dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan penguatkuasaan RUU ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan RUU tersebut pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, semalam.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar mengumumkan kelulusan RUU tersebut oleh DUN Sarawak selepas mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan dibahas oleh tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Antara lain RUU tersebut bertujuan menubuhkan pihak berkuasa bagi pelantikan Timbalan Pengerusi Lembaga, pindaan kepada perkara berkaitan dengan pekerja dan penggantian gelaran Ketua Pegawai Eksekutif kepada Pengurus Besar.
Foto: UKAS
