KUCHING: Masyarakat Melayu harus menguasai ilmu teknologi untuk bersaing dengan kaum lain, menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tegasnya, hanya dengan menguasai teknologi ini, mereka mendapat penghormatan di persada dunia.
“Orang kita jangan ‘kalah bulu’ bak kata orang.
“Mereka juga sama seperti kita, jadi bacalah buku dengan banyak, tambah ilmu dan kita dapat berhujah di sana dan kuatkanlah penguasaan teknologi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Samarindok Aidilfitri 2024M/1445H anjuran Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini, malam tadi.
Premier Sarawak juga yakin AKYBMS dapat memainkan peranan menyumbang dan mengangkat masyarakat Melayu bermula di Sarawak ke tahap yang dihormati.
Abang Johari menambah, kerajaan negeri akan terus berusaha untuk mengangkat ekonomi dan pendapatan Sarawak melebihi pencapaian pada tahun lepas.
Majlis diserikan dengan kehadiran oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengurus Besar AKYBMS Datu Dr Sanib Said.
