KUCHING: Pejabat Sarawak Trade and Tourism Office Brunei (STATOB) akan dibuka di Bandar Seri Begawan, Brunei tidak lama lagi.
Ini dibincangkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Dato Seri Setia Awang Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof.
Menteri dari Brunei itu mengadakan kunjungan hormat kepada Awang Tengah di Wisma Sumber Alam, di sini, hari ini.
Pertemuan selama lebih dua jam tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Sarawak dalam pelbagai bidang khususnya pembangunan tenaga, telekomunikasi, pertanian komersil, pelancongan, pelaburan dan perdagangan.
Turut hadir Konsul Agung Negara Brunei ke Sarawak Sheikh Abdul Mahdani Sheikh Abdul Gani, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datu Lester Matthew.
