KUCHING: Sarawak berpotensi memperkukuhkan pengeluaran padi negara susulan negeri itu
mempunyai tanah yang luas.
Namun, kejayaan itu bergantung kepada keupayaan menghasilkan benih yang berkualiti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) boleh membantu Sarawak memperbanyakkan benih padi yang baik.
Ini kerana katanya, sasaran Sarawak mengurangkan kebergantungan kepada beras import daripada luar negara mampu direalisasikan jika negeri ini berupaya menghasilkan benih padi berkualiti struktur tanah tempatan.
“Kalau MARDI dapat membantu memperbanyakkan benih berkualiti, kita boleh tanam lebih luas, hasilkan lebih banyak padi.
“Ini akan mengurangkan pergantungan kepada import dari Vietnam atau Kemboja,” katanya pada Majlis Perasmian Persidangan Padi Kebangsaan 2025 di sini, malam tadi.
Tambah Abang Johari, Sarawak telah memperuntukkan 14,000 hektar di kawasan strategik seperti Tanjung Bijat, Sri Aman, Lingga, Simunjan, Lundu, Spaoh, Limbang dan Lawas dengan unjuran pengeluaran 240,000 metrik tan beras.
“Jika keluasan tanaman digandakan, pengeluaran mampu mencecah 500,000 metrik tan jauh melebihi keperluan rakyat Sarawak dan boleh dibekalkan ke seluruh negara,” jelasnya lagi.
Beliau turut berkongsi kejayaan projek perintis di Gedong yang meningkatkan hasil padi daripada 1.2 tan kepada lapan tan sehektar menggunakan benih baharu dan kaedah moden.
