Sarawak pilihan pelabur Australia

AUSTRALIA: Sarawak adalah antara destinasi pelaburan pilihan di Malaysia berdasarkan pandangan pelabur Australia terutama dalam kelestarian pembangunan, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

Beliau berkata, beberapa projek potensi pelaburan yang sedang dalam rundingan oleh pelabur Australia dalam pembangunan ekonomi hijau adalah hidrogen dan keluli hijau untuk sektor kenderaan elektrik.

Sarawak mencapai banyak kejayaan dalam kelestarian pembangunan itu untuk menjadikannya sebagai lokasi pelaburan di Asia Tenggara, katanya dalam kenyataan di sini.

Awang Tengah yang juga Menteri Sumber dan Pembangunan Bandar Kedua dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan yang melawat Australia mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Premier Queensland yang juga Bendahari dan Menteri Perdagangan dan Pelaburan, Cameron Dick.

Dalam kunjungan hormat itu, mereka membincangkan pelbagai isu penting dan kolaborasi antara Sarawak, Malaysia dan Australia. Hadir sama Ahli Parlimen Australia, Jessice Pugh.

Awang Tengah mendedahkan Sarawak masih kaya dengan sumber semula jadi, flora dan fauna, keluasan tanah yang subur untuk pertanian, simpanan galian yang banyak dan risab petroleum dan gas asli.

Ini membuka peluang kolaborasi bagi Australia dan Sarawak termasuk kolaborasi dengan Pertubuhan Sainstifik dan Penyelidikan Industri Komenwel (CSIRO) dan kemajuan kemudahan penyelidikan sainstifik dan pengurusan hutan mampan, katanya.

Dalam sektor perhutanan, beliau berkata, Sarawak akan berkolaborasi dengan Australia dalam aktiviti Penanaman Hutan termasuk Pengurusan Ladang Hutan, penyelidikan dan pembangunan.

Awang Tengah memberitahu, dalam sektor perlombongan, Sarawak turut memberi perhatian dalam pembangunan hiliran produk galian dan komoditi dengan mengambil kira Australia sebagai salah sebuah negara pengeluar komoditi galian terkemuka dunia.

Sarawak, tambahnya, juga menjadi pemain utama dalam Industri Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Asia Tenggara.

Beliau menegaskan, dalam aspek sosial dan ekonomi, Australia kekal sebagai salah satu destinasi bagi kebanyakan rakyat Sarawak terutama dalam sektor pelancongan dan pendidikan.

Sarawak turut popular dalam kalangan rakyat Australia dengan mencatat seramai 7,824 rakyat Australia melawat Sarawak dalam tahun 2022 dan meningkat kepada 17,827 orang dalam 2023.

Kunjungan hormat itu berakhir dengan majlis menandatangani dan pertukaran Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Majlis Perniagaan Australia Malaysia (AMBC) dan Dewan Perniagaan Sarawak Australia (SABC) untuk memupuk perdagangan dan pelaburan dua hala antara Sarawak dan Australia.

Perdagangan dan pelaburan dua hala itu diharap akan membuka laluan kepada kegiatan perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pendidikan antara Sarawak dan Australia, tegas beliau.

Antara yang hadir sama ialah Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dato Sri Mohd. Naroden Majais dan Ketua Hakim Negeri, Datu Saferi Ali.