LNG, petroleum mentah antara eksport utama Sarawak 2023

KUCHING: Perlombongan menjadi eksport utama Sarawak pada 2023 yang berjumlah RM76.9 bilion.

Timbalan Premier Sarawwak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini diikuti sektor pembuatan (RM35.8 bilion) dan pertanian (RM17.4 bilion).

“Beberapa penyumbang utama (perlombongan) termasuk gas asli cecair (LNG), petroleum mentah dan kondensat dengan nilai RM76.9 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Hari Eksport Sarawak 2024 di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, eksport lain ialah logam, kayu, kimia dan produk elektrik dan elektronik bernilai RM31.4 bilion dan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM16 bilion.

Selain itu, beliau mendedahkan Sarawak juga merekodkan jumlah perdagangan berumlah RM193.4 bilion pada 2023.

Menurutnya, RM130.8 bilion adalah dari sektor eksport dan RM62.6 bilion adalah import.

“Selaras dengan kelembapan perdagangan global, jumlah perdagangan menurun 11 peratus daripada RM217.2 bilion pada 2022 yang mana eksport bernilai RM153 bilion dan import RM64.2 bilion.

“Barangan dagangan utama pada 2023 ialah bahan api galian, minyak sawit dan produk elektrik dan elektronik, manakala import utama adalah barangan perantaraan, penggunaan dan modal,” katanya.