Guna geran biayai aktiviti kemasyarakatan

BINTULU: Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak fasa pertama diserahkan kepada 182 penerima.

Penerima terbabit merangkumi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Penyerahan tersebut membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM890,600.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee yang menyempurnakan penyerahan itu berharap peruntukan ini tidak hanya membantu golongan dewasa tetapi juga belia untuk menganjurkan aktiviti berfaedah.

“Jangan simpan cek anda itu tetapi gunakannya untuk membiayai projek atau aktiviti-aktiviti anda,”ujarnya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Haidar Khan Asghar Khan, Pemangku Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan, Pemanca Awang Merais Pengiran Ismail, Penghulu Isa Megong dan Penghulu Chabi Nangup.