KUCHING: Universiti Teknologi MARA (UiTM) merancang meneruskan penganjuran program Come Discover Bumi Kenyalang (CDBK) setiap tahun bagi mempromosikan Sarawak secara global.
Penolong Naib Canselor (Strategi), Bahagian Transformasi Universiti UiTM, Prof. Ts. Dr Nor Hayati Saad berkata CDBK ialah program antarabangsa dan inisiatif bersama UiTM Global Cawangan Sarawak dan Pejabat Pendaftar Universiti Teknologi MARA Shah Alam serta dengan sokongan Kerajaan Sarawak.
“Kami bercadang untuk meneruskan projek (CDBK) ini setiap tahun bagi memantapkan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Sarawak secara global,” katanya ketika mewakili Naib Canselor Fasc Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin pada Majlis Makan Malam Penutup CDBK 2024 di sini, malam tadi.
Majlis dirasmikan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Hussaini yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Nor Hayati berkata, peserta program itu terdiri daripada pelajar sarjana antarabangsa dan kakitangan pengiring dari universiti masing-masing dan tahun ini mereka dari Kemboja, China dan Indonesia.
Beliau berkata, untuk CDBK 2024 institusi dipilih untuk program ini ialah Universiti Pengurusan Kemboja, Universiti China Baise, Universiti Teknikal & Vokasional Quanzhou, Universitas Sebelas Maret, dan Universitas Panca Bhakti, Pontianak, Indonesia.
“CDBK 2024 mempunyai seramai 37 peserta terdiri daripada 22 lelaki dan 15 perempuan bertuah kerana mendapat pengalaman berharga daripada program ini,” tambahnya.
Menurutnya, antara aktiviti program ialah memperkenalkan bahasa Sarawak tempatan dalam “Jom Klaka Bahasa Sarawak”, membuat kek lapis Sarawak, , melawat Kampung Budaya Sarawak dan sebagainya.
