Sarawak tempat terbaik realisasi perpaduan 7,838 atlet muda SUKMA XXI 2024

KUCHING: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA)XXI 2024 di Sarawak menghimpunkan seramai 7,838 atlet muda dari seluruh pelosok negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, dalam kalangan mereka mungkin ada yang pertama kali ke bumi Sarawak.

Katanya, ada juga mungkin pertama kali berinteraksi dengan rakan dari negeri lain dengan rapat.

“Sarawak adalah tempat terbaik untuk kita realisasikan semangat perpaduan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian SUKMA XXI Sarawak 2024 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, di sini, malam tadi.

Perasmian itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menteri-menteri kabinet negeri dan persekutuan.

Hannah Yeoh berkata mereka sebagai atlet muda juga mempunyai penyokong dan peminat yang ramai.

Berikutan itu, beliau mahu mereka memastikan ekosistem sukan yang mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik.

“Kita mesti mengubah situasi di mana kita cepat untuk menghukum, malah menghina pihak lawan melalui media sosial,”katanya.

Beliau juga menggesa belia ini menggunakan sukan untuk membawa perubahan kepada budaya ini.