KUCHING: Sarawak merancang membawa masuk lebih 1,000 pekerja asing untuk bekerja dalam sektor perladangan di negeri ini tahun ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jumlah pekerja itu diperlukan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk ditempatkan di pelbagai kilang perladangan.
“Tenaga pekerja itu diperlukan bagi memperkasa sektor perladangan yang menjadi salah satu penyumbang utama ekonomi negeri ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Rundi, tenaga pekerja itu sangat diperlukan bagi memastikan produktiviti perladangan Sarawak terus berada pada tahap optimum sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, SALCRA memerlukan lebih 1,000 pekerja asing itu dan jika mengambil kira keluasan tanah, seorang pekerja mampu menghasilkan 1.5 tan hasil sehari.
“Bayangkan kerugian ekonomi jika hasil tuaian tidak dapat dijalankan kerana kekurangan tenaga kerja,” jelasnya.
SALCRA melalui M-FICORD, tegas beliau, mengambil langkah proaktif dengan membawa masuk pekerja melalui Asosiasi Perusahaan Jasa Tenaga Kerja Indonesia (APJATI) bagi menangani isu kekurangan buruh di ladang.
Setakat ini seramai 65 pekerja Indonesia telah dibawa masuk ke Sarawak manakala tambahan seramai 302 pekerja lagi dijangka tiba menjelang awal Februari depan, katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh dan Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) Tan Sri William Mawan Ikom.
