Ibu bapa bentuk sahsiah anak-anak

DARO: Ibu bapa merupakan rakan kongsi yang sangat penting dalam kejayaan pendidikan anak-anak, kata Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Beliau berkata, tanggungjawab ibu bapa bukan sahaja memastikan anak-anak hadir ke sekolah tetapi juga memastikan mereka belajar dengan baik.

“Ibu bapa juga harus memberi sokongan kepada anak-anak ketika berhadapan dengan cabaran dan memberi semangat untuk terus berjaya,” katanya pada Majlis Konvokesyen Tahun 6, Graduasi Prasekolah dan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid Sesi 2024/2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Camporan Daro di sini hari ini.

Menurut Ahmad Johnie, setiap ibu bapa perlu memain peranan aktif dalam memastikan anak-anak mereka tidak hanya berjaya dalam akademik tetapi juga dalam pembentukan sahsiah.

“Sebagai ibu bapa, kita perlu menjadi contoh teladan dan motivator utama dalam hidup anak-anak. Pendidikan yang baik adalah satu tanggungjawab bersama, yang memerlukan kerjasama antara sekolah, ibu bapa dan komuniti,” tegas beliau.

Majlis yang dihadiri oleh ibu bapa, guru-guru, dan pelajar itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pencapaian luar biasa murid-murid SK Camporan Daro dalam pelbagai bidang.

Majlis tersebut turut diserikan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada murid-murid yang mencapai kecemerlangan dalam akademik, kokurikulum, serta pembangunan sahsiah. Penghargaan juga diberikan kepada guru yang telah berkhidmat dengan dedikasi dalam mendidik generasi masa depan.

Hadir sama wakil Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Omar Remain, Guru Besar SK Camporan Daro, Norden Tamin dan Yang Dipertua PIBG SK Camporan Daro, Wan Muhaini Wan Mahsen.