KUCHING: Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian biasiswa melalui Yayasan Sarawak kepada wartawan di Sarawak.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, ini disarankan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selain beliau menekankan pentingnya kebajikan wartawan terbabit.
“Beliau (Tun Dr. Wan Junaidi) turut menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian biasiswa melalui Yayasan Sarawak kepada mereka yang berminat untuk melanjutkan pelajaran atau mengikuti kursus profesional dalam bidang kewartawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sarawak serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di sini, hari ini.
Abdullah Saidol berkata, selain itu Yang di-Pertua Negeri Sarawak juga mengesa Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) agar bekerjasama lebih rapat dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) serta institusi kewartawanan lain.
Katanya, mereka juga digesa berusaha untuk memastikan masyarakat tidak terdedah kepada berita-berita yang berpotensi menimbulkan keresahan atau kebimbangan.
Turut sama dalam kunjungan tersebut adalah Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail serta Pengurus Besar MPI, Norlida Jamain.
