Pasukan khas bantu daftar SKAS

SARIKEI: Pasukan khas akan bergerak membantu penduduk luar bandar khususnya di kawasan Parlimen Tanjong Manis untuk mempermudahkan urusan pendaftaran dan pengemaskinian permohonan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).

Justeru, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab menasihati penduduk supaya tidak tergesa-gesa untuk mendaftar SKAS.

“Tempohnya masih panjang dan mencukupi untuk semua yang layak”, katanya semasa merasmikan Majlis Apresiasi Tabika dan Taska Kemas Zon Sarikei Tanjong Manis di sini hari ini.

Yusuf berkata, pemberian SKAS adalah inisiatif murni Kerajaan Sarawak bagi membantu mereka yang memerlukan, dengan pelbagai bentuk bantuan yang telah disediakan.

Majlis tersebut untuk meraikan kejayaan pelajar Tabika dan Taska Kemas yang telah menamatkan peringkat awal pendidikan mereka sebelum melangkah ke alam persekolahan rendah.

Yusuf turut menzahirkan penghargaan kepada tenaga pengajar Kemas atas dedikasi mereka dalam membimbing kanak-kanak melalui pendidikan awal.

“Ini bukan tugas yang mudah. Ia memerlukan kesabaran, komitmen, dan dedikasi tinggi untuk membimbing anak-anak kecil dengan pelbagai ragam mereka.

“Saya amat menghargai usaha para guru Kemas dalam memastikan anak-anak ini mendapat asas pendidikan yang kukuh,” katanya.