KUCHING: Kesemua 82 Cawangan Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak telah selesai dan berjaya mengadakan Mesyuarat Perwakilan Cawangan masing-masing pada hujung Disember 2024.
Ketua Pergerakannya, Dato Sri Fatimah Abdullah merakamkan penghargaan kepada semua penyelaras wanita yang terdiri daripada kalangan Majlis Tertinggi (MT) Wanita atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menyelaras Mesyuarat Perwakilan Cawangan di kesemua 82 cawangan wanita.
Menurutnya, Yang di-Pertua Parti PBB yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan Parti PBB di empat zon mulai Januari ini.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Pergerakan Wanita Parti PBB di Ibu Pejabat Parti PBB, Jalan Bako di sini.
Fatimah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti berkata, pergerakan itu telah menubuhkan 14 jawatankuasa kecil bagi menjayakan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita di sini pada 14 Februari 2025.
“Majlis perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita dan Pergerakan Pemuda akan diadakan pada tarikh sama dan disempurnakan oleh Yang di-Pertua parti,” katanya.
Beliau berkata, majlis makan malam menyambut semua perwakilan dan pemerhati wanita dari kesemua 82 cawangan akan diadakan sehari sebelum perhimpunan agung iaitu pada 13 Februari 2025.
Fatimah menegaskan, MT Wanita menyokong penuh kepimpinan Yang di-Pertua parti dalam usaha merealisasikan visi pembangunan negeri yang inklusif, progresif dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Pergerakan Wanita, tambahnya, terus berdiri teguh di belakang Yang di-Pertua parti dalam memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan sosial, ekonomi dan politik negeri untuk menjayakan aspirasi Sarawak menuju masa depan yang lebih gemilang.
Perhimpunan Agung Parti PBB Sarawak Ke-16 bertemakan ‘PBB Tonggak Kepada Kestabilan, Kemajuan dan Kelestarian’, akan diadakan selama tiga hari bermula 14 hingga 16 Februari 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
