Penerima bantuan JKM terima bantuan SKAS menerusi akaun bank

KUCHING: Penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak yang layak akan menerima bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) menerusi akaun bank masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penerima terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, golongan kurang berkemampuan, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pesakit yang terlantar.

“Mesyuarat pagi tadi bersetuju supaya semua penerima bantuan yang berdaftar di bawah JKM Sarawak yang layak akan dibuat secara tunai melalui akaun bank masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Jasmin Jawahar Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Sehubungan itu Fatimah berkata, penerima bantuan JKM tidak perlu membuka akaun baharu dan pihaknya hanya membantu mereka mendaftar sahaja.

Jelas beliau, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) dan Sistem Informasi Sarawak Sdn Bhd (SAINS) akan membantu melihat kelayakan mereka berdasarkan tiga kategori iaitu isi rumah, bujang dan warga emas tiada pasangan dan tiada anak.

Menurutnya, keputusan ini dibuat setelah mendapati golongan sasaran ini menghadapi kesukaran untuk mendaftar ke aplikasi Sarawak Pay (SPay) Global kerana tiada telefon pintar.