Sarawak salur peruntukan bangunkan sistem pengairan penanaman padi

SRI AMAN: Kerajaan Sarawak akan menyalurkan peruntukan besar bagi tujuan membina sistem pengairan untuk projek penanaman padi di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi menampung peruntukan sebanyak RM173 juta yang diberikan kerajaan pusat kepada Sarawak.

Katanya, Sarawak juga akan menggunakan lebih 20,000 tanah untuk menanam padi yang berupaya menghasilkan keluaran tinggi dengan menggunakan teknologi dan benih baharu.

Menurutnya, ketika ini Sarawak hanya mampu mengeluarkan kira-kira 36 peratus beras dari jumlah yang diperlukan.

“Kita hendak tingkatkan sehingga 100 peratus. Ini bermakna kita hendaklah memberikan peruntukan besar khas untuk penanaman padi.

“Kos pengairan sangat tinggi. Sebab itu Kerajaan Sarawak akan memberikan peruntukan tersebut untuk kita membangunkan secara beransur-ansur penanaman padi,” katanya dalam sidang media semasa meninjau tapak projek Jelapang Padi Milik Advansia (Sarawak) Sdn Bhd dan BERNAS (Sarawak) di Sri Aman petang tadi.

Dedahnya, sebanyak 10,000 tanah telah dikenalpasti di kawasan selatan untuk penanaman padi iaitu di Simunjan, Gedong dan Sri Aman termasuk tanah milik penduduk kampung dan ‘small holders’.

Manakala 10,000 lagi tanah dikenalpasti di kawasan utara melibatkan Limbang, Lawas dan sebahagian di Bekenu, ujarnya lagi.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Pengerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) Dato’ Sri Rohani Abdul Karim