KUCHING: Sarawak mahu melahirkan lebih ramai pereka teknologi cip bagi memacu sektor tersebut di negeri ini.
Bagi tujuan itu, Sarawak menjalinkan kerjasama bersama syarikat kejuruteraan mikroelektronik global dari Belgium, Melexis.
Golongan ini akan berperanan melatih dan melahirkan tenaga kerja seiring kemajuan teknologi yang sentiasa berubah terutamanya dalam industri pembuatan cip.
Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama ditandatangani pada 2022 menerusi sektor semikonduktor itu menyaksikan Melexis membuka tapak ujian wafer terbesar di dunia iaitu di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya.
Katanya, kerjasama ini juga termasuk kolaborasi bersama universiti tempatan untuk menjalankan Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) yang komprehensif bagi peranti semasa dan masa depan terutamanya dalam bidang penjagaan kesihatan.
“Hasrat Kerajaan Sarawak adalah untuk bekerjasama, berkongsi kekuatan dengan Belgium kerana usaha ini selaras dengan matlamat teknologi terkini dalam sektor pembangunan ekonomi ,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Fasiliti Melexis di Zon Perindustrian Bebas Sama Jaya hari ini.
Ujarnya, perkembangan terbaharu ini menandakan komitmen Melexis untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi Semikonduktor Dan Pengukuhan Kewujudan Syarikat di rantau Asia Pasifik.
Katanya, beliau telah menetapkan sasaran bahawa menjelang 2030, Sarawak akan menghasilkan 10 Gigawatt kuasa, meningkat daripada kapasiti semasa sebanyak 5,700 Megawatt.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, saya dan kabinet akan meneroka pelbagai teknologi yang dapat menjana tenaga boleh diperbaharui untuk menyediakan tenaga yang diperlukan bagi semua aktiviti ekonomi,” tambahnya lagi.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Duta Belgium Ke Malaysia Peter Van Acker, Pengerusi Melexis Francoise Chombar, Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh.
