KUCHING: Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Sarawak akan diadakan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, di sini, mulai 15 hingga 19 Julai ini.
Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia, Dato Dr. Jeniri Amir berkata festival anjuran DBP Cawangan Sarawak itu bagi meningkatkan minat serta penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
”Antara program dianjurkan untuk pelajar SMPC termasuk pertandingan forum pelajar dan klip video pendek, pertandingan bicara berirama, pertandingan penglipur lara moden, program bimbingan pemerkasaan forum pelajar dan program bacaan lima minit,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat pelaksanaan festival itu di DBP Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Jeniri berkata, bagi kalangan murid SJKC pula ialah pertandingan lagu berkumpulan dan pertandingan bercerita.
