LAWAS: Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan negara Brunei untuk penanaman padi berskala besar.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Stephen Rundi Utom berkata, ini kerana beliau mendapati Brunei juga berminat bagi keperluan mereka.
“Kita boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak daripada negara luar yang lebih berkemampuan dari segi teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan mesin padi dan program pengukuhan keterjaminan makanan 2024 dengan Kerajaan Sarawak di Kampung Long Tuan Ulu Trusan, di sini, hari ini.
Dr Stephen Rundi berkata, sebelum ini juga banyak negara termasuk dari China, Vietnam, Singapura dan sebagainya menemui pihaknya berhubung perkara itu kerana melihat keterjaminan makanan penting.
