MIRI: Peruntukan sebanyak RM120 juta dilulus bagi membaik pulih laluan ‘Red Line’ membabitkan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB).
Menurut Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi, kerja pembinaan projek itu di beberapa lokasi di sepanjang laluan LPB dijangka bermula pada 2025.
“Jalan Red Line ini merangkumi laluan sepanjang 136 kilometer (km) dan akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun hadapan,” katanya.
Ahli Parlimen Kapit terbabit berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Infrastruktur Borneo Edisi Kedua di sini, hari ini.
Tambah beliau, Projek Rangkaian Jalan Sarawak-Sabah (SSLR) Fasa Dua yang berharga RM7 bilion dijangka membantu meningkatkan hubungan antara dua negeri berkenaan.
Beliau berkata, projek yang dilaksanakan itu bertujuan menyediakan akses kepada jalan raya yang lebih selamat untuk pengguna.
