Sasar bina 500 unit rumah di penempatan baharu Segedup

KUCHING: Kira-kira 500 unit rumah akan dilaksanakan di kawasan penempatan baharu Segedup di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok yang juga Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.8 Satok, Dato Ibrahim Baki berkata projek itu dilaksana secara berperingkat.

Katanya, kerja-kerja pengisian tanah dan struktur jalan dalaman sedang dijalankan dan hampir siap. Manakala, kerja-kerja perparitan juga sedang dijalankan.

“Kemungkinan pada tahun depan kerja-kerja infrastruktur akan dimulakan termasuk kerja cerucuk.
Kerja cerucuk bermaksud pembinaan bangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan tersebut sesi 2024-2027 di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, projek terbabit akan mengambil masa sehingga 2026 bagi membina struktur rumah untuk fasa pertama sebanyak 271 unit.

Beliau berkata, setelah itu projek tersebut akan memasuki fasa seterusnya yang membina sekitar 250 unit rumah lagi bagi mencapai sasaran keseluruhannya sebanyak 500 unit rumah.

Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga Timbalan Ketua Cawangan, Abdul Samad Gani, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim, Ketua Pergerakan Wanita, Kaunselar Salina Mohammad Saleh, Ketua Pemuda, Mohamad Akram Mohamed Karim serta 400 perwakilan dan pemerhati dan belia dari 15 ranting.