Sumbangan keperluan sekolah ringankan beban ibu bapa

DARO: Seramai 80 murid mendapat manfaat dari Program Gunting Rambut Percuma dan Sumbangan Beg Sekolah anjuran Saberkas cawangan Daro di Dewan Baitus Sina Sekolah Kebangsaan (SK) Hijrah Badong, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, penganjuran program kembali ke sekolah tersebut mencerminkan keprihatinan berterusan kepimpinan terhadap kesejahteraan rakyat, khususnya pelajar dan keluarga berpendapatan sederhana serta rendah.

Menurutnya, usaha ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi keperluan asas persekolahan, malah mampu meningkatkan motivasi dan keyakinan murid untuk hadir ke sekolah.

“Program ini dapat meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak, di samping memupuk semangat kebersamaan dan saling membantu dalam kalangan masyarakat,” katanya semasa merasmikan program itu semalam.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi SABERKAS Cawangan Daro, Mohd Faizal Jamiludin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Hijrah Badong, Rafiah Ali, Penghulu Jebli Ngok serta yang lain.