Sembilan PPS diaktif susulan banjr di Sarawak, operasi pemindahan mangsa lancar

KUCHING: Sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kini aktif di beberapa bahagian di Sarawak susulan hujan berterusan sehingga menyebabkan banjir semula di beberapa kawasan sejak awal pagi tadi.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebuah daripada PPS berkenaan dibuka di Bekenu sejak 4 Januari lalu, manakala lapan PPS lagi dibuka pagi ini melibatkan kawasan Kuching (Bau), Samarahan dan Serian (Siburan).

“Saya diberitahu awal pagi tadi banjir di Serian. Jentera JPBN dan Bahagian yang diketuai Residen digerakkan sebaik menerima laporan dengan kerjasama Polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk sama-sama memindahkan mangsa.

“Kita berterima kasih kepada mereka yang sedia untuk pindah,” katanya selepas mesyuarat Pusat Kawalan Bencana Negeri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia pagi tadi.

Menurut Uggah, PPS yang baharu dibuka melibatkan Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong dengan 20 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 94 mangsa, PPS Dewan Serbaguna Kampung Blimbin, Krokong belum didedahkan (dalam proses pengemaskinian data), serta PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Endap, Kampung Endap di Samarahan melibatkan tiga keluarga dan sembilan mangsa.

Di Bahagian Serian pula katanya, PPS yang dibuka ialah Balai Raya Kampung Betong, Kanowit melibatkan enam keluarga dengan 26 mangsa, PPS SK Tanah Merah Kampung Turong melibatkan 30 KIR dan 95 mangsa serta PPS SK St. Peter, Simpok melibatkan empat keluarga dengan 15 mangsa.

Manakala, PPS di Dewan Taman Duranda Emas dan Dewan Serbaguna Kampung Lintang Baru jumlah mangsa juga belum didedahkan (dalam proses pengemaskinian data).

Dalam perkembangan berkaitan, Uggah turut memaklumkan pihak PDRM telah diarahkan untuk memantau keselamatan rumah dan harta benda penduduk yang ditinggalkan semasa pemindahan.

Selain itu menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) diarahkan menjalankan saringan kesihatan terhadap mangsa di PPS serta melaksanakan penyemburan bagi mencegah penularan penyakit, selaras dengan prosedur operasi standard (SOP).