KUCHING: Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe menjawat jawatan sebagai Setiausaha Tetap KPWK baharu.
Beliau menggantikan mantan Setiausaha Tetap KPWK, Datu Felicia Tan Ya Hua yang memulakan tugas baharu sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas disaksikan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah di Bangunan Baitul Makmur 2 di sini hari ini.
Fatimah berkata, peralihan kepimpinan itu mencerminkan komitmen kementerian dalam mengamalkan tadbir urus yang teratur, profesional dan berintegriti sejajar dengan usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Majlis penyerahan tugas ini bukan sekadar proses pentadbiran, sebaliknya mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan tadbir urus yang kemas, berkesinambungan serta berfokuskan kepentingan rakyat,” katanya.
Fatimah turut menzahirkan keyakinan bahawa peralihan tanggungjawab ini akan meningkatkan keupayaan kementerian dalam melaksanakan peranan dan fungsinya secara berkesan demi manfaat rakyat Sarawak.
Nur Alina mempunyai pengalaman luas merentasi pelbagai kementerian serta jabatan negeri, sekali gus diyakini mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan dan dasar kementerian berkenaan.
Majlis sama turut menyaksikan pelantikan Kathereen Lalai Eddie Saga sebagai Timbalan Setiausaha Tetap KPWK serta Rohana Mohamad Ali (Ketua Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik KPWK).
Dalam majlis berkenaan, Felicia Tan yang telah berkhidmat lebih 33 tahun dalam perkhidmatan awam turut diraikan sebagai penghargaan atas sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang menerajui KPWK.
