KUCHING: Projek ‘Trans-Borneo Railway’ yang merentas sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia meningkatkan tahap konektiviti antara Sarawak dan Kalimantan sekali gus mengukuhkan jaringan perdagangan dua hala jika direalisasi.
Menurut Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli berkata, jaringan perhubungan tersebut akan mengukuhkan kerjasama di antara kedua-dua wilayah dan kawasan Borneo.
Ia untuk menjadikan kepulauan ini sebuah kawasan pembangunan ekonomi dan perdagangan yang menguntungkan semua pihak.
Dalam hal ini, beliau menyambut baik sokongan Sarawak terhadap usaha untuk memperluaskan projek mega merentasi dua negara tersebut yang dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan mobiliti serantau di seluruh Borneo.
“Dalam kesempatan pertemuan sebentar tadi, Premier Sarawak mendorong agar satu jaringan konektiviti iaitu ‘Trans-Borneo Railway’ diperluaskan ke wilayah Kalimantan.
“Jadi, ini adalah peluang untuk mendorong kerjasama antara Kalimantan dengan Sarawak dan seluruh kawasan Borneo untuk menjadi sebagai sebuah kawasan pembangunan ekonomi dan perdagangan yang menguntungkan semua pihak,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
