KUCHING: Syarikat dan individu tempatan di negeri ini disaran
mengambil bahagian dalam industri microalgae yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri.
Menurut Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, mereka yang berminat boleh menceburi tiga bidang dalam industri tersebut iaitu penanaman dan penuaian microalgae, pengeluaran minyak algae mentah dan membangunkan biojisim algae untuk pelbagai produk seperti makanan haiwan, produk nutraseutikal dan pharmaseutical.
“Bagaimanapun perlu ditekankan bahawa skala eonomi sesuai untuk pelaburan projek adalah penting untuk berdaya maju dan lestari,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 hari ini.
Tambah beliau, SEDC Energy Sdn Bhd juga sedang mengkaji dan meneroka sumber-sumber lain yang bersesuaian untuk pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF).
“Antara sumber yang boleh dijadikan pilihan ialah minyak masak terpakai, rumpai laut, sisa pertanian dan biojisim,” tambahnya.
Katanya lagi, projek microalgae di Sarawak turut berdepan beberapa cabaran iaitu perubahan cuaca dan pelaburan yang tinggi kerana ia memerlukan teknologi tinggi iaitu sensor kecerdasan buatan (AI) untuk menggantikan tenaga manual yang mengendalikan penghasilan algae berkualiti tinggi.
