Tenaga kerja inovatif pacu ekonomi Sarawak

KUCHING: Sarawak mahu menggerakkan ekonominya terus maju ke tahap yang lebih tinggi dengan memanfaatkan tenaga kerja inovatif.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, usaha ini memerlukan pembangunan tenaga kerja selaras dengan perubahan teknologi dan keperluan global.

Hanya melalui penghasilan produk bernilai tinggi dan pemerkasaan inovasi, Sarawak mampu meningkatkan taraf hidup rakyatnya serta mencapai kedudukan lebih kukuh dalam ekonomi dunia, ujarnya.

“Kerajaan Sarawak bertekad untuk memacu ekonomi ke arah yang lebih inovatif dengan memberi tumpuan kepada bidang strategik seperti teknologi hijau, penjagaan kesihatan, pertanian moden, kejuruteraan kreatif dan pembangunan pelabuhan laut dalam.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, tetapi inovatif dan mampu mencipta sesuatu yang baharu, sekali gus memacu ekonomi wilayah ini ke tahap lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat di Majlis Pelancaran Program Latihan Pengukuhan Graduan Sarawak – Program Kesediaan Bekerja (GETS-WRP) di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Justeru, graduan yang akan ditempatkan di pelbagai agensi strategik untuk menjalani latihan kemahiran lanjutan, agar memanfaatkan peluang dengan meningkatkan keupayaan diri dan kompetitif.

Abang Johari turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Sarawak Centre of Performance Excellence (SCOPE), Curtin University Malaysia dan Excelarate Asia – Jobstreet.com, yang menandakan satu lagi usaha strategik dalam memperlukuh kerjasama antara institusi akademik dan industri.

GETS-WRP merupakan program latihan di tempat kerja selama 12 bulan yang direka untuk membantu graduan, khususnya anak Sarawak, memperoleh kemahiran praktikal dalam pelbagai industri.

Sasaran pada tahun ini untuk melatih 1,000 graduan dengan kemahiran terkini seperti teknologi, kewangan, pemasaran, penjagaan kesihatan dan perubahan iklim, bagi membolehkan mereka memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang semakin kompleks.

Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Wan Lizozman Wan Omar, Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim.