KUCHING: Sesi Townhall 7 Tahun Bersama Premier sebagai platform terbaik untuk mendedahkan perancangan, inisiatif dan strategi yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak.
Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia juga dapat berkongsi mengenai inisiatif dan visi yang dibawa pemimpin negeri ini susulan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg terlibat secara langsung dalam sesi dialog bersama rakyat.
‘’Ia bagi membolehkan rakyat menjadi lebih terdidik mengenai isu-isu semasa dan lebih cenderung untuk turut serta dalam usaha-usaha yang dilakukan.
‘’Menerusi perkongsian ini juga, kita dapat lihat bahawa usaha yang dilaksanakan Premier berkesan dan menunjukkan hasil terbaik,” katanya selepas selesai sesi Townhall Bersama Premier di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, malam tadi.
Menurut Dato Sri Alexander, selain membina masyarakat yang lebih berpengetahuan dan bertanggungjawab, townhall seumpamanya diyakini dapat memperkukuhkan kepercayaan dan sokongan rakyat terhadap kerajaan.
“Bagi saya, dengan menghadiri sesi Townhall seperti ini, kita dapat mendengar dengan jelas perkongsian Premier Sarawak dari mula beliau merancang pelbagai inisiatif sehingga semuanya sangat berhasil.
“Kita dapat melihat betapa telitinya strategi dan perancangan kerajaan untuk mencapai kegemilangan yang bukan sahaja mengambil kira keperluan Sarawak, malah turut memberi impak positif di persada antarabangsa,” katanya.
