Tuntutan kutipan duti setem atas transaksi tanah masih dibincang

KUCHING: Kerajaan Sarawak menuntut kutipan duti setem atas transaksi tanah dikembalikan Kerajaan Persekutuan kepada negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tuntutan ini selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Duti setem ini adalah sebahagian daripada cukai Kerajaan Persekutuan tetapi kita rasa ia harus diberi balik kepada Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan persembahan tarian berkoreografi di Tebingan Sungai Kuching, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan juga masih berbincang mengenai tuntutan itu.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Hilmy Othman, Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Kuching Bapak Raden Sigit Witjaksono.