Sarawak tempa satu lagi Malaysia Book of Records

KUCHING: Sarawak menempa satu lagi pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) menerusi acara Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi.

Bertempat di Tebingan Sungai Kuching di sini, program tersebut diadakan sempena Hari Bersama Pelanggan anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama ‘The Rotary Club of Kuching’.

Hadir menyaksikan rekod yang dicipta itu ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari serta Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Konsul Jeneral Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Duta Romania ke Malaysia dan Brunei Nineta Barbulescu dan ramai lagi.

Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman dalam ucapannya berkata, program tersebut menggalakkan orang ramai untuk menerima dan menghargai perbezaan budaya yang wujud bersama di Kuching.

“Rakyat Sarawak seharusnya berasa bangga kerana adalah Model Perpaduan dalam Kepelbagaian.

“Kita mesti terus mengekalkan keamanan dan keharmonian alam sekitar dan bertuah kerana dipimpin oleh pemimpin yang berwawasan jauh seperti Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari yang merupakan pemimpin kepada semua kaum.

Tambahnya, program itu juga bertepatan dengan program Hari Bebas Kenderaan anjuran DBKU yang diadakan di tengah-tengah bandar raya ini.

Inisiatif ini menggalakkan kehidupan mampan dan mengurangkan pelepasan karbon, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menumpukan kepada ekonomi hijau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *